27 May 2009

Hidup ini untuk apa

Assalamualaikum dan salam sejahtera
Saya kira sudah lama saya tidak menitipkan nukilan saya di dalam blog ini.
Almaklum sahajalah bila dah berkerjaya, mesti sibuk dengan kerjaya. Dan Alhamdulillah Allah masih lagi beri saya kesempatan untuk menulis.
Jadi pada kali ini mari kita tambah ilmu pengetahuan kita dengan HIDUP INI UNTUK APA

Dari Tuhan kita datang

Setiap manusia yang dilahirkan oleh ibu asalnya adalah dari Tuhan. Hanya ibu sebagai medium perantara untuk membesarkan seorang manusia. Apabila manusia telah dewasa dan berakal, mereka menyangka bahawa mereka datang dari ibubapa. Alasannya kerana ibu yang melahirkan dan ibu tidak mungkin akan mengandung tanpa ayah. Jadi kesimpulan yang dibuat, manusia datang dari ibubapa. Malah yang lebih malang lagi, ada teori yang mengatakan manusia asalnya dari monyet. Itu adalah contoh bila kita menggunakan akal semata-mata tanpa merujuk kepada Al-Quran dan Hadis dalam membuat sebarang keputusan.


Pada hakikatnya dalam Al-Quran dan Hadis secara terang-terangan telah menjelaskan kepada kita bagaimana manusia dicipta, bak kata pepatah `yang terang lagi bersuluh`. Kenapa masih ada di antara kita yang masih mahu meragui perkara ini sedangkan meragui perkara ini adalah termasuk dalam mempersekutukan Tuhan (syirik) yang merupakan dosa besar.

Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan Yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu Dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk Yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

(Surah Al-Mukminun 12-14)

Jelaslah sekarang ini yang kita dilahirkan ke dunia adalah utusan dari Tuhan dan bukannya satu kebetulan. Kita bukan datang dari ibubapa tapi kita datang dari Tuhan.


Bukan satu kebetulan

Dari setitis air mani seorang ayah yang mengandungi berjuta-juta sperma berenang ke ovum si ibu. Hanya satu sperma sahaja yang akan bercantum dengan ovum. Hasil dari cantuman dan persenyawaan itulah yang akan membesar dan akhirnya akan lahir sebagai bayi. Mari kita perhatikan dan renungkan sejenak, dari berjuta-juta sperma yang berenang menuju ke ovum si bu, hanya satu sahaja yang akan disenyawakan, hanya satu sahaja yang akan membesar sebagai bayi, hanya satu sahaja yang akan dikandungkan, hanya satu sahaja yang akan dilahirkan dan hanya satu sahaja yang akan jadi juara. Maknanya disini kita dipilih oleh Tuhan untuk ke dunia dan kita merupakan juara yang telah berjaya menewaskan berjuta bakal manusia yang lain. Kita ke dunia merupakan pilihan dan bukannya kebetulan.


Mencari redha dan berkat

Sudah tentu ada sebabnya mengapa kita dicipta oleh Tuhan, begitu juga penciptaan makhluk lain. Masing-masing mempunyai sebab dan tujuan disamping memainkan peranan yang tersendiri. Tumbuhan contohnya, selain untuk makanan manusia, ia juga mengeluarkan oksigen untuk kegunaan kita. Binatang, selain untuk kegunaan manusia, ia juga merupakan aset terpenting bagi mengimbangi sistem ekologi alam. Jadi secara amnya boleh kita katakan disini adalah Tuhan tidak ciptakan kita tanpa tujuan. Dan sudah pasti apa sahaja yang Tuhan jadikan di atas muka bumi ini ada sebabnya.

Mungkin kita sering tertanya-tanya.

Apakah tujuan kita dicipta?

Aku hidup ini untuk apa sebenarnya?

Kenapa Tuhan ciptakan aku?

Dan berbagai-bagai persoalan yang timbul dalam fikiran kita.

Malah yang lebih malang lagi, ada yang sudah menjangkau usia 40an pun masih belum tahu untuk apa kita diciptakan.

Pastikan apa matlamat hidup anda? (Gambar hiasan)

Apa yang dapat disimpulkan bahawa, kita hidup di bumi yang nyata dan fana ini adalah mencari redha dan berkat.

Persoalannya sekarang, bagaimanakah caranya kita mencari redha? Jawapan yang cukup mudah dan saya yakin kita semua mampu buat. Jawapannya adalah, apabila ibubapa redha kepada kita, nescaya Tuhan akan redha ke atas kita. Itu adalah cara yang paling mudah untuk mencari redha.

Redha Tuhan terletak pada redha ibubapa - hadis


Bagaimana pula dengan berkat? Bila redha sudah datang, pasti dengan sendirinya berkat itu akan datang juga. Ia datang tanpa diundang. Berkat juga merupakan sesuatu yang abstrak. Ia tidak boleh dilihat tetapi boleh dirasa, bukan dirasa melalui pancaindera tetapi melalui hati naluri, umpama kata pepatah hanya jauhari yang mengenal manikam. Bagaimana untuk kita mengetahui yang hidup kita ini berkat. Pertama, cuba anda perhatikan alam sekeliling anda, pernah atau tidak anda lihat sebuah keluarga yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, wang belanja tidak cukup tetapi mampu untuk menghantar semua anak-anaknya ke sekolah dan akhirnya berjaya.


Pernah atau tidak anda perhatikan, sebuah keluarga yang sederhana, belanja sekadar cukup makan, tetapi hidup dalam keadaan harmoni, aman sejahtera dan hormat menghormati sesama adik beradik


Apa sahaja yang dilakukan oleh mereka-mereka ini seolah-olah mencukupi. Kurang pun tidak, lebih pun tidak. Hidup rasa tenang, jiwa pun rasa tenteram. Sesama adik beradik sepakat, hidup dalam keadaan muafakat.

Itulah contohnya bila hidup kita ini berada di dalam keberkatan. Tidak perlu duit yang banyak untuk berkat. Tidak perlu rumah yang mewah untuk berkat. Tidak perlu kereta yang besar untuk berkat. Apa yang perlu hanyalah rezeki yang halal, hindari maksiat, istiqamah beribadat, berbuat baik pada ibu bapa, rasa cukup dengan apa yang ada (bersederhana) eratkan silaturahim, mudah-mudahan berkat.


Kedua, kita perhatikan sekali lagi sekeliling kita, ada orang yang duitnya banyak, tetapi hatinya tidak tenang, risau duitnya itu disamun, ada orang yang rumahnya mewah tetapi jiwanya tidak tenteram risau rumahnya dirompak, ada orang yang keretanya besar tetapi seringkali kemalangan, ada orang yang meampunyai anak tetapi anaknya menjadi duri dalam daging kepadanya sendiri. Ada orang yang berumahtangga tetapi asyik bergaduh suami isteri, anak-anak tidak muafakat, bergaduh sesama saudara mara. Rasa tidak cukup dengan apa yang dimiliki sedangkan harta bertimbun, rumah bertingkat-tingkat, kereta bersusun di garaj, projek berjuta dan berbagai lagi harta dunia.


Ini adalah beberapa contoh mereka-mereka yang tidak berkat dalam hidupnya. Bandingkanlah yang pertama dengan yang kedua. Gunakanlah akal yang waras dan iman yang tulus dalam membuat penilaian. Saya yakin anda mampu menilainya.

No comments:

saya budak baru belajar

saya budak baru belajar