02 March 2006

Untuk apa kita mempunyai anak?

Saya telah ditanya oleh seorang sahabat yang sekadar untuk menguji sejauh mana pengetahuan saya dalam hal yang bersangkut paut dengan rumahtangga. Soalannya berbunyi, untuk apa kita mempunyai anak?
Oleh yang demikian, saya pun menulis sedikit tentang `untuk apa kita mempunyai anak` didalam ruangan ini sekadar untuk berkongsi pengetahuan saya yang masih cetek ini.
Inilah huraian saya :

Mempunyai anak sendiri adalah salah satu dari kurnia terindah dalam fasa kehidupan berumahtangga. Rasa bahagia itu akan lebih terasa lagi ketika saat menunggu kelahiran penyeri rumahtangga ini. Sang ibu merasa bangga, selain kerana telah berhasil memenuhi keinginan suami dan keluarga, ia juga bersyukur kepada Allah s.w.t kerana telah dikurniakan anak yang diimpikannya selama ini. Anak adalah anugerah Illahi. Semua pasangan secara fitrahnya sangat mendambakan anugerah dan kurniaan ini. Kerana itu, suami isteri seharusnya tahu dan menyedari nilai kurniaan Allah s.w.t yang begitu besar ini. Anak adalah amanah Allah. Suami isteri harus tahu hakikat ini. Mereka yang tidak memahami hakikat nilai ini, dengan mudah akan meremehkan dan mengabaikan kewajiban mereka untuk menjaga dan mendidik anak-anak.

Tidak semua orang yang berkeluarga mudah dan cepat untuk menimang anak. Allah s.w.t yang menentukan dan mengurniakan amanah ini kepada sesiapa yang Dia inginkan. Kerana itu, pasangan yang telah diizinkan oleh Allah s.w.t mendapat anak, harus mampu menjaganya dengan baik. Mencurahkan kasih sayang dan perhatian yang paling baik menurut perintah Allah s.w.t dan didikan Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t berfirman, “Bagi Alla jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi, Ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya – anak lelaki dan perempuan, dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.” (Surah Asy-Syura : 49-50). Kita wajib menyambut anak yang lahir dengan rasa penuh syukur dan kasih sayang, kerana ini adalah nikmat dari Allah s.w.t yang tidak ternilai. Nikmat yang akan menjadi penyeri rumahtangga. Membahagia dan menyenangkan hati suami apatah lagi si isteri.

Firman Allah, “Dan juga mereka (yang diredahi Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dan berkata “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.” (Surah Al-Furqan: 74). Allah s.w.t juga telah mengabadikan doa hamba-hamba-Nya yang akan mampu mewariskan perjuangan mereka. Misalnya, doa Nabi Zakaria, “Tuhanku!, kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.” (Surah Ali Imran: 38).

“Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku, dan isteriku pula adalah seorang yang mandul oleh itu kurniakanlah daku dari sisi-Mu seorang anak lelaki. Yang layak mewarisi daku juga mewarisi keluarga Nabi Ya`akub dan jadikanlah dia seorang yang diredhai dan disukai.” (Surah Maryam : 5-6).
Bahkan, anak yang baik ini akan memberi manfaat kepada orang tua mereka apabila mereka telah meninggal dunia nanti. Seorang ulama pernah mengungkapkan, “Anak-anak yang soleh akan menjadi sumber sedekah jariah bagi ibu bapa”. Itu terjadi jika anak-anak itu dididik, diasuh dan dijaga diri serta jiwa mereka dengan sempurna hingga menjadi mukmin yang benar. Hanya anak soleh yang bisa menjadi amalan abadi yang terus mengalir pahalanya untuk kedua ibu bapanya. Kita sedar bahwa Allah s.w.t telah memerintahkan setiap Muslim supaya menjadikan diri sebagai manusia yang dikehendaki Allah (muslim sejati). Allah berfirman, “Hendaklah kamu menjadi manusia-manusia rabbani (yang hanya menyembah Allah s.w.t).” (Surah Ali-Imran : 79).

Ibu bapa mempunyai tugas yang berat untuk mendidik anak-anak supaya menjadi insan Rabbani. Satu tanggungjawab yang suci untuk menghasilkan manusia-manusia yang hanya taat kepada Allah s.w.t dan RasulNya. Amanah ini cukup berat, tapi ia akan ditanya oleh Allah s.w.t kelak di hari Akhirat. Rasulullah s.a.w bersabda, “....dan setiap suami adalah pemimpin bagi keluarganya. Ia akan diminta pertanggungjawabannya dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah dan anak suaminya, dan ia akan diminta pertanggungjawabannya”. Sehubungan dengan itu, suami isteri mesti memahami dan menunaikan setiap hak anak yang dipikulkan kepada mereka. Sabda Nabi, “Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila sudah cukup umur dan mengajarnya al- Qur’an.” (Riwayat Al-Hakim & Ad-Dailami). Baginda s.a.w juga pernah bersabda, “Tidak ada suatu pemberian yang lebih baik daripada seorang ayah kepada anaknya selain daripada budi pekerti yang baik”. (Riwayat At-Tirmizi). Di samping itu, kasih sayang ayah dan ibu juga harus diperhatikan. Itu hak mereka. Perhatian dan kasih sayang mereka diperlukan untuk menjadi insan yang tunduk kepada tuntunan Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w bersabda, “Berbaktilah kalian kepada kedua orang tuamu, nescaya anak-anakmu akan berbakti kepadamu.” Mendidik anak-anak menjadi insan soleh dan solehah adalah tanggungjawab ibu bapa. Ibu bapa tidak seharusnya gagal mendidik anak-anak dalam menunaikan tanggungjawab ini. Jika gagal mendidik anak-anak kerana lalai, maka beban yang berat akan dipikul di Akhirat nanti. Allah s.w.t telah mengingatkan masalah ini dalam firman-Nya, “Wahai orang-orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu dari api neraka”. (Surah At-Tahrim : 6).
Anak-anak adalah penyambung kehidupan keluarga dan penerus cita-cita ibu dan ayah. Mereka harus dididik agar menjadi anak yang soleh. Dipersiapkan untuk memikul dan melaksanakan tugas untuk menyebar dan membela Islam. Merekalah yang mewarisi kerja-kerja kita yang belum selesai. Mari tanya diri kita. Seriuskah kita dalam kerja mendidik mereka? Betulkah cara yang kita gunakan untuk mendidik, mengasuh dan menjaga anak-anak kita? Adakah kurniaan Allah ini akan kita sia-siakan hingga kelak bukannya menjadi tabungan pahala di akhirat, malah sebaliknya? Wallahu `alam.


Nota :
Rujukan dari
-Mushaf Tajwid beserta terjemah ke dalam Bahasa Malaysia
-Sunan Tirmizi
-Kitab Az-Zawaj karangan Dr. Ibrahim Hafnawi
-Nasihat Agama dan Wasiat Iman oleh Imam Habib Abdullah Haddad

No comments:

saya budak baru belajar

saya budak baru belajar